Modus operandi baharu edar ganja di KL

0
475

POLIS mengesan modus operandi baharu aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang mengaut keuntungan melalui hasil penjualan bunga ganja bernilai tinggi di pasaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata penemuan itu terbongkar apabila empat lelaki warga tempatan menganggotai sindiket terbabit diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 14 Dis lepas.

Beliau berkata serbuan pada 10 pagi itu, tiga suspek ditahan di kawasan Brickfields sementara seorang lagi ditahan di Shah Alam masing-masing berumur lingkungan 22 hingga 36 tahun.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket bergiat aktif mengimport benih ganja dari luar negara selain turut menggunakan teknologi canggih bagi tujuan penanaman serta penjagaan pokok ganja itu.

“Ia dijual dalam bentuk timbangan auns dengan harga RM2,800 bagi setiap satu auns (28 gram) dan ia hanya dijual kepada pelanggan tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hasil kedua-dua serbuan, polis merampas bunga ganja seberat 4.555 kilogram (kg); daun-daun kering disyaki daun ganja seberat 0.72 kg; tujuh biji benih ganja seberat 0.67 gram selain lapan batang pokok ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah itu bernilai kira-kira RM 491,520.

“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz serta motosikal jenis KTM bernilai RM95,000,” katanya.

Ujian saringan mendapati tiga suspek positif dadah THC manakala dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kejadian lain, polis menahan dua suspek masing-masing seorang wanita dan lelaki kerana disyaki terlibat sindiket memproses dadah di sebuah premis di Bandar Baru Petaling, di sini, pada Rabu lepas.

Beliau berkata polis menemui serbuk MDMA seberat 8,932 gram; 558 botol cecair MDMA; ketamin seberat 63 gram; 190 biji pil ecstacy dan 120 biji pil erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM 545,325.

“Hasil siasatan mendapati sindiket telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat bagi mengaburi kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya sambil menambah mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here