Mangsa banjir Pantai Timur meningkat, operator kilang korban pertama

0
299

MANGSA banjir di tiga negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – semakin meningkat dengan 635 orang dari 131 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) setakat pukul 4 petang semalam berbanding kira-kira 200 mangsa pagi tadi.

Banjir yang mula melanda sejak awal pagi ini turut meragut satu nyawa apabila mayat seorang operator kilang ditemukan pada pukul 2.22 petang selepas dilapor terjatuh daripada motosikal semasa meredah air bah di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang, Pahang.

Situasi banjir di ketiga-tiga negeri pantai timur dijangka berterusan susulan hujan yang membawa kepada peningkatan paras air sungai masih melanda kawasan-kawasan berkenaan sehingga petang ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, Terengganu kini melebihi paras bahaya dan sedang meningkat.

Di KELANTAN, lapan PPS dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah melibatkan seramai 548 orang daripada 108 keluarga, setakat pukul 4 petang semalam.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata PPS yang terbabit adalah empat di Kuala Krai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai; Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak; SK Chenulang dan Pejabat Veterinar manakala dua di Gua Musang iaitu SK Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi 1.

“Selain itu, masing-masing satu PPS dibuka di Tanah Merah iaitu SK Kelewek dan Jeli pula di SK Kuala Balah,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 63 orang daripada 14 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 21 orang daripada lima keluarga pada 9 pagi semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat tiga PPS yang beroperasi ketika ini iaitu di Setiu, Dungun dan Kemaman.

Di KUANTAN, jumlah mangsa di dua PPS tidak berubah setakat petang ini melibatkan 24 orang daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di SK Kempadang manakala sembilan orang daripada dua keluarga di SK Beserah. 

Keadaan beberapa jalan sekitar daerah ini dan pekan Sungai Lembing yang dinaiki air sejak awal pagi tadi juga kembali pulih, walaupun cuaca masih hujan renyai. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here