Zarul Ahmad terkejut Guan Eng minta 10% keuntungan projek terowong

0
572

SAKSI kes rasuah Lim Guan Eng memberitahu di mahkamah pada Jumaat terkejut apabila diminta 10 peratus keuntungan daripada projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang dibuat oleh bekas Ketua Menteri tersebut.

Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dalam keterangannya berkata, Guan Eng membuat permintaan tersebut semasa berada dalam sebuah kereta pada malam Mac 2011.

Saksi pendakwaan ke-22 itu nyata terkejut dengan permintaan tersebut dan tidak menyangka Guan Eng yang dianggap sebagai seorang yang telus dan bersih boleh membuat tindakan sedemikian.

Zarul Ahmad mendakwa, awal malam itu, dia telah memberi persetujuan kepada Guan Eng berhubung MoU (Memorandum Persefahaman), bagi membolehkan tertuduh memberikan Projek Terowong Dasar Laut kepada syarikatnya secara rundingan terus.

Saksi itu mendakwa semasa berada di dalam kereta, Guan Eng kononnya meminta daripadanya sebanyak 10 peratus keuntungan masa depan bagi projek RM6.3 bilion Pulau Pinang itu.

Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut.

“Selepas itu, YB Lim Guan Eng ada meminta saya untuk memberikannya 10 peratus daripada keuntungan projek itu kelak kepadanya.

“Ketika itu saya agak terkejut kerana perkara itu keluar dari mulut YB Lim Guan Eng dan saya berfikir sejenak tentang permintaan itu.

“(Ini) kerana saya tidak sangka ia akan keluar dari YB Lim Guan Eng yang saya ingat selama ini adalah orang yang menentang rasuah,” dakwa Zarul dipetik portal Malaysiakini.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here