Russia, Ukraine di ambang peperangan

0
730

TANDA-tanda semakin jelas Russia akan membuat pencerobohan terhadap Ukraine, bagaimanapun media-media barat melaporkan, para pemimpin EU mengeluarkan kenyataan sebarang tindakan pencerobohan tentera akan ada kesan dan kos yang besar.

Sebelum ini, Russia dituduh cuba menimbulkan ketegangan dengan Ukraine sejak beberapa hari lalu berikutan tindakan menambah penghantaran askarnya ke sempadan negara berjiran itu.

Kedua-dua negara saling tuduh menuduh berikutan peningkatan keganasan antara tentera Ukraine dengan kumpulan pejuang pemisah di negara itu, yang mendapat sokongan Russia.

Kiev mendakwa kumpulan pemisah itu mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui Moscow pada Julai tahun lalu selain menuduh negara jirannya itu membina kekuatan ketenteraan di sempadan.

Walaupun Russia menafikannya, difahamkan kira-kira 175,000 askar negara itu dikerah ke kawasan sempadan dengan Ukraine baru-baru ini.

Russia dijangka mengerahkan tenteranya itu untuk menceroboh Ukraine tahun depan, dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran mengenai serangan skala besar yang mungkin sedang dirancang, menurut laporan The Washington Post.

Pentadbiran AS berkata, perancangan Moscow membabitkan pergerakan besar 100 kumpulan taktikal batalion yang dianggarkan dengan kekuatan 175,000 tentera bersama kereta perisai, senjata dan kelengkapan lain.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov mengganggarkan Russia mengerahkan sekitar 100,000 tentera berdekatan sempadan, namun Russia menafikan tuduhan itu.

Pada Sabtu lalu, AS menggesa Russia berundur dari perbatasan Ukraine, selain memberi amaran kumpulan negara G7 dan sekutunya akan mengambil tindakan tegas jika negara itu terus melanggar prinsip diplomasi.

Pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, pada mesyuarat diplomat tertinggi kumpulan G7 di Liverpool, negara terbabit berpendirian Moscow masih mempunyai masa untuk mengubah pendiriannya.

“Tindak balas yang mengakibatkan kesan yang besar boleh berlaku jika mereka (Russia) memilih untuk tidak meneruskan ketetapan ini kerana G7 tegas dalam hal berkenaan.

“Sebahagian besar negara yang bebas dan demokrasi akan menyertai kami untuk mengambil tindakan tegas ini,” katanya.

Amaran itu muncul ketika ancaman perang Russia ke atas Ukraine dan cara serangan balas terhadap China yang semakin tegas mendominasi hari pertama mesyuarat dua hari Menteri Luar G7 di bandar Britain itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here