SERAMAI 27 mangsa dikhuatiri maut selepas kebakaran tercetus di tingkat empat sebuah bangunan di kawasan komersial di bandar Osaka, Jepun, menurut jabatan bomba dan penyelamat.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan puluhan anggota bomba serta penyelamat bertungkus lumus di lokasi kejadian membabitkan bangunan setinggi lapan tingkat terletak di kawasan perniagaan yang sibuk berhampiran stesen kereta api Kitashinchi.
Media tempatan melaporkan, tingkat terbabit menempatkan sebuah klinik yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan penjagaan perubatan am.
Seorang jurucakap polis Osaka berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan laporan media yang memetik sumber polis sebagai berkata ‘ada kemungkinan berlaku serangan pembakaran dengan sengaja, berdasarkan keadaan di tempat kejadian.’
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Osaka, seramai 27 daripada 28 mangsa yang cedera dalam kebakaran itu, didapati tiada menunjukkan sebarang tanda masih bernyawa.
Bagaimanapun di Jepun, hanya doktor boleh mengesahkan seseorang itu meninggal dunia dan kesemua mangsa terbabit dilaporkan sudah dibawa ke hospital.
“Kebakaran dikesan pada jam 10.18 pagi di tingkat empat. Setakat tengah hari, sebanyak 70 jentera bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Pegawai itu turut memaklumkan, api berjaya dipadamkan selepas setengah jam. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.