Banjir: Dua PPS dibuka di Gua Musang, 129 mangsa dipindahkan

SERAMAI 129 orang daripada 20 keluarga di Gua Musang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi Jumaat, selepas rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan di daerah itu sejak tiga hari lepas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan daerah Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, dua PPS dibuka adalah Dewan Orang Ramai, Chiku 7 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi (1) yang mula diaktifkan pukul 9 pagi ini.

“PPS Dewan Orang Ramai, Chiku 7 menempatkan seramai 102 orang melibatkan 16 keluarga manakala PPS SK Limau Kasturi (1) pula menempatkan empat keluarga membabitkan 27 orang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Kota Bharu pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd. Yussalmi berkata beliau menjangkakan jumlah mangsa banjir di dua PPS tersebut akan bertambah memandangkan hujan masih berterusan di kawasan itu. – Bernama