PRN Sarawak: Saingan Ba’kelalan, calon ‘intai’ sokongan pengundi atas pagar

0
493

SAINGAN lima penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan akan tertumpu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dilihat memiliki peluang 50:50 untuk merebut kerusi itu, demikian menurut pemerhati politik.

Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, pecutan akhir kempen yang tinggal kurang 24 jam menjelang hari mengundi esok, mampu merubah sentimen pengundi di DUN itu terutama pengundi atas pagar.

Walaupun terdapat calon lain yang bertanding, saingan sengit sebenar dilihat melibatkan penyandang Baru Bian, yang merupakan calon PSB, dengan calon GPS, Sam Laya yang juga seorang peguam, daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Setakat ini, pesaing sebenar ialah GPS dan PSB dengan kedudukan kini 50:50 dan ini bergantung kepada hayunan kempen terakhir dan sejauh mana menggunakan masa akhir untuk menarik undi atas pagar menyokong calon mereka.

“Kempen akhir sangat penting dan boleh menentukan keputusan sokongan terutama pengundi atas pagar dan kaum Dayak. Kita meramalkan calon yang menang nanti pun dengan majoriti tipis,” katanya kepada Bernama.

Baru, yang juga Ahli Majlis Presiden PSB memenangi kerusi Ba’kelalan pada 2011 dan 2016 atas tiket PKR, turut ditentang Peter Asut daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Martin Samuel Labo daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Bebas Agnes Padan.

Pada PRN 2016, Baru menewaskan calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini dijenamakan semula sebagai PDP, dengan majoriti tipis 486 undi.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, perjalanan politik Baru yang sering bertukar parti sehingga digelar ‘katak politik’ tidak dinafikan memberi sedikit kesan dari segi sokongan terhadapnya kali ini. 

Beliau berkata, tindakan Baru yang sering bertukar parti menyebabkan pengundi melihat beliau seperti tidak mempunyai hala tuju jelas dalam politik dan ini menimbulkan rasa sangsi dalam kalangan pengundi.

“Hal ini kerana Baru pernah bertanding atas tiket PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak), SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak), PKR dan kini PSB.

“Sebab itu di kawasan yang ditandinginya… walaupun beliau menang namun jumlah undi adalah tipis,” katanya.

Penganalisis itu berkata, berdasarkan kajian lapangan oleh pihaknya baru-baru ini, peluang calon lain bersaing dengan Baru khususnya muka baharu adalah terbuka dan cerah tetapi bergantung kepada cara berkempen untuk menyakinkan masyarakat Lun Bawang Ba’kelalan.

Katanya, pilihan rasional pengundi ialah mahukan parti yang stabil, mempunyai rekod pencapaian cemerlang, calon parti yang lebih dikenali pengundi malah mereka tidak akan mengundi mana-mana parti tanpa jaminan masa depan kukuh.

Menerusi kajian rentas UMCEDEL bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak serta sebuah media tempatan dari 20 hingga 27 November (fasa satu) dan 8 hingga 14 Disember (fasa dua) lepas yang melibatkan 4,500 responden seluruh Sarawak, antara lain mendapati secara keseluruhan, rakyat berpuas hati dengan pengurusan negara oleh Kerajaan Persekutuan dan pengurusan negeri di bawah GPS.

  • Bernama 
     

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here