Vape punca mati pucuk

0
560

SEJAK kebelakangan ini, tabiat penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape semakin membimbangkan berikutan ramai menganggapnya mampu mengalihkan ketagihan pada rokok konvensional.

Penggunaannya juga semakin meluas dalam kalangan remaja di bangku sekolah serta mereka yang tidak merokok, kerana vape dilihat sebagai trend atau gaya hidup serta tidak memudaratkan.

Sebaliknya, peranti itu dicipta dalam pelbagai bentuk, saiz dan cecair itu dimasukkan sebatian kimia sekali gus menjadikan ramai ketagih serta berubah kepada dwi-pengguna, rokok dan vape serentak.

Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti New York mendapati bahawa tabiat menghisap ‘vape’ atau rokok elektronik boleh meningkatkan risiko mati pucuk sehingga dua kali ganda, lapor laman berita News 18 kelmarin.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal ‘American Journal of Preventive Medicine’ itu mendedahkan bahawa lebih dua kali ganda lelaki sihat yang berusia antara 20 hingga 65 tahun yang menghisap rokok elektronik setiap hari melaporkan mengalami masalah mati pucuk.

“Analisis kami mengambil kira sejarah merokok dalam kalangan peserta kajian, termasuk mereka yang tidak pernah merokok sebelum ini.

“Ada kemungkinan menghisap rokok elektronik setiap hari dapat dikaitkan dengan kemungkinan mati pucuk lebih tinggi berbanding tempoh seseorang itu merokok,” kata penulis kajian, Dr. Omar El Shahawy.

Menurut Dr. Omar, mereka mengasingkan individu dengan masalah kolesterol, diabetes, obesiti dan penyakit kardiovaskular yang juga merupakan antara sebab utama masalah mati pucuk.

Malah menerusi kajian itu, mereka turut mengasingkan individu yang pernah merokok sebelum bertukar kepada rokok elektronik.

Bagi kajian tersebut, pasukan itu menganalisis hampir 46,000 individu dewasa dan menilai maklumat yang dilaporkan oleh lelaki sihat yang menggunakan rokok elektronik dengan kerap.

“Menerusi kajian itu dan pengasingan yang dibuat, kami tetapi menemui hubungan sangat kuat dan signifikan antara vaping dan mati pucuk.

“Bagi lelaki yang memiliki masalah kesihatan seperti jantung, diabetes, risikonya adalah tiga kali ganda untuk mengalami masalah itu,” katanya yang juga merupakan seorang penyelidik di New York University’s Grossman School of Medicine.

Katanya, dua alasan utama kesan rokok elektronik terhadap masalah mati pucuk adalah nikotin dan bahan kimia yang terkandung dalam rokok elektrik dapat mengurangkan kemampuan arteri untuk menjadi lebih besar dan melebar dan seterusnya menyebabkan disfungsi ereksi.

Ia dapat mengawal aliran darah ke organ reproduksi lelaki serta menyebabkan kanser dan banyak masalah kesihatan yang lain. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here