Polis panggil pelajar kes buli dan penular video

0
405

POLIS mengesahkan sudah memanggil semua pelajar yang terbabit dalam kejadian buli secara kekerasan atau ‘ragging’ di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar seperti rakaman video tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata selain itu, pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli terbabit berlaku pada awal pagi semalam iaitu antara jam 1 hingga 2 pagi 9 Disember membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun. 

Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada pengetua sekolah terbabit kira-kira jam 1 tengah hari tadi berikutan daripada tularnya rakaman video insiden berkenaan sehingga mendapat perhatian meluas warganet. 

“Polis mengesan satu rakaman video tular berkaitan pergaduhan membabitkan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah Kuala Kangsar hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Mior Faridalathrash berkata, semua pihak berkenaan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Katanya, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain dibimbangi dapat mengganggu proses siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum serta disarankan membuat laporan dan aduan di balai polis berhampiran, menghubungi jabatan berkaitan, atau mengikut undang-undang yang diwartakan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here