Harimau Malaya baham Laos 4-0

0
557

HARIMAU Malaya meraih kemenangan mudah 4-0 ke atas Laos dalam persaingan pusingan kedua Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura pada malam Khamis.

Kejayaan besar itu hasil perubahan strategi oleh Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang melakukan rombakan di bahagian serangan apabila beliau merehatkan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula yang menyaksikan Luqman Hakim Shamsudin bertindak selaku penggempur utama Harimau Malaya.

Strategi Cheng Hoe yang menurunkan keseluruhan anak tempatan dalam kesebelasan utama itu membuahkan hasil seawal minit ketujuh apabila Safawi Rasid menjaringkan gol pertama selepas menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terus mencetak nama selaku penjaring apabila menyumbang gol kedua pada minit ke-34.

Harimau Malaya juga mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan pada babak kedua namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Bagaimanapun, pada minit ke-78, Shahrul Saad berjaya menjaringkan gol ketiga sebelum Safawi melengkapkan hatrik dengan meledak gol keempat pasukan negara, dua minit kemudian.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya kekal di kedudukan teratas dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pertama Kumpulan B, Isnin lalu.

Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan sukar berdepan juara bertahan, Vietnam, Ahad ini dan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here