[VIDEO] Kes SRC-Najib: Ringkasan keputusan Mahkamah Rayuan

0
612

MAHKAMAH Rayuan pada Selasa telah menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn. Bhd.

Berikut adalah ringkasan keputusan Mahkamah Rayuan:

Pertama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal bersalah dan sabitan hukuman oleh Mahkamah Tinggi iaitu 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kekal.

Panel tiga hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak.

Kedua
Mahkamah menyifatkan tindakan Najib berhubung kelulusan pinjaman RM4 bilion kepada SRC bukan untuk kepentingan negara tetapi untuk kepentingan peribadi. Hal itu kata Hakim, memalukan negara.

Ketiga
Tidak ada kecacatan dalam penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan tidak melakukan salah arah dalam mengarahkan Najib Razak membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan dalam perbicaraan rasuah SRC.

Keempat
Mahkamah memutuskan wang RM42 juta tidak ada perkaitan langsung dengan derma daripada keluarga diraja Arab dan sebaliknya banyak bukti menunjukkan dana itu daripada SRC.

Kelima
Mahkamah membuat keputusan bahawa jika ia benar-benar derma Arab, maka tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu didepositkan ke akaun SRC, yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan.

Keenam
Najib berkuasa penuh dalam SRC.
Panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International dan tuurt bersetuju bahawa Najib Razak adalah “pengarah bayangan” bagi SRC International.

Ketujuh
Panel Hakim Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hakim perbicaraaan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.

Kelapan
Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan Najib mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

Kesembilan
Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak telah mengarahkan lembaga pengarah SRC mengalihkan dana pinjaman ke luar negara yang tidak ada kaitan dengan tujuan pinjaman daripada KWAP.

Kesepuluh
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International.

Justeru, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here