Pertemuan tak terduga, Lan Solo & Rody Kristal jernih keadaan

0
394

JIKA dihitung sudah empat tahun juga mereka ‘bersengketa’ namun takdir juga akhirnya mempertemukan Lan Solo dan gitaris kumpulan Kristal, Rody baru-baru ini.

Sempat memuat naik gambar bersama dalam satu pertemuan tidak dijangka, Lan memuat naik foto berkenaan ke dalam Instagram miliknya setelah bertemu secara tidak sengaja dengan Rody di surau yang menjadi lokasi Gegar Vaganza berlangsung.

“Sebenarnya kami ke sana atas tujuan bekerja dan bukanlah diundang bersama untuk membuat persembahan.

“Bila waktu Maghrib, saya ke surau dan di sanalah kami bertemu buat kali pertama secara tidak sengaja tapi penuh makna,” kata Lan.

Jika ada yang masih ingat, persengketaan mereka tercetus apabila Lan menyertai Gegar Vaganza musim keempat.

Penyertaan Lan secara solo ketika itu telah membuatkan anggota Kristal yang lain panas hati dan mencetuskan perbalahan di media massa.

Meskipun sudah 18 tahun bersama kumpulan berkenaan, Lan akhirnya direhatkan oleh Kristal dan dia mengambil keputusan untuk bergerak secara solo selepas itu.

Tidak mahu terus mengungkit kisah lama, Lan bersyukur kerana dipertemukan semula dengan Rody meskipun hanya seketika.

“Saya rasa gembira dalam penuh kesyukuran sebab benda ini berlaku tanpa sebarang perancangan dan ditemukan di tempat yang baik, kami dah lama tak bercakap sejak tahun 2017.

“Sebenarnya kita tak dapat nak bersembang dengan lebih panjang lagi sebab masing-masing berkejar dengan komitmen pada ketika itu,” jelasnya.

Tambah Lan, dia akan bertemu Rody dalam masa terdekat dan berharap hubungan itu dapat terus dijernihkan tanpa campur tangan orang luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here