Ada sebab Siti Nordiana hasilkan Amaran, tak sindir sesiapa pun

0
402

BARU sahaja melancarkan lagu Amaran baru-baru ini sudah ada pihak yang menganggap lagu itu mempunyai mesej ‘panas’ yang ditujukan kepada segelintir pihak.

Menafikan perkara berkenaan, Siti Nordiana menegaskan yang dia tidak menyindir mana-mana pihak termasuklah mereka yang disaman olehnya baru-baru ini.

“Apabila saya muat naik teaser lagu ni di Instagram, saya agak terkejut juga kerana ramai pula yang kaitkan lagu Amaran dengan situasi yang berlaku terhadap diri saya.

“Apa yang boleh saya nyatakan, ia langsung tidak berkaitan atau menyindir mereka yang berkaitan. Lagi pun lagu ini sudah dihasilkan sejak setahun yang lalu,” katanya menjernihkan keadaan.

Seperti mana yang diketahui umum, Nana menyaman lima individu termasuklah rakan artisnya berkaitan dengan isu fitnah baru-baru ini. Walau bagaimanapun, kes berkenaan baru sahaja bermula di mahkamah.

Tambahnya lagi, lagu berkenaan lebih sekadar hiburan dan pesanan seorang wanita kepada wanita lain agar berhati-hati dengan lelaki ‘buaya’.

Memilih Bunga Isme sebagai pasangan kali ini, Amaran menampilkan kelainan apabila memasukkan elemen rap dan tradisional ke dalam lagu.

“Sebelum ini orang dah selalu dengar saya nyanyi lagu pop dan balada. Jadi, saya ambil keputusan untuk tampilkan kelainan menerusi lagu Amaran.

“Berkenaan pemilihan Bunga pula, saya rasa dia adalah penyanyi yang paling sesuai setelah mendengar beberapa lagu nyanyian sebelum ini,” ujarnya.

Amaran merupakan lagu hasil ciptaan sepenuhnya Bunga Isme, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here