Pendaftaran automatik undi 18 diwarta berkuatkuasa 15 Disember

0
334

PINDAAN umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Dis.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan berkuat kuasa pada 15 Dis ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)(Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)(Pindaan) 2021 telah diwartakan pada 30 Nov lepas.

“Pindaan ini akan berkuat kuasa pada 15 Dis setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 dalam masa terdekat.

Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 menyatakan pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Sebelum ini, cadangan pindaan itu telah diluluskan pada mesyuarat kedua sesi kedua Parlimen ke-14 pada Julai 2019, namun tidak dilaksanakan.

Pada 7 Sept lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan SPR melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 6 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here