[VIDEO] Harga barang naik: Bila kerajaan mahu bertindak?

0
575

SELAGI tiada tindakan tegas dan jelas yang membawa perubahan positif kepada isu kenaikan melampau harga barangan keperluan, selagi itulah rakyat akan terus merana.

Bebanan dan tekanan akibat kerakusan sesetengah pihak mahu mengaut untung ini pasti akan membuatkan rakyat mengeluh panjang.

Pihak berwajib perlu ingat, keluhan itu satu hari nanti akan bertukar menjadi kemarahan yang amat besar dan pastinya merugikan kerajaan sekiranya isu harga barang ini tidak berkesudahan.

Isyarat kepada senario yang bakal berlaku itu dapat dilihat dengan jelas sewaktu SatuBerita melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di sekitar Gombak, Selangor, pada Khamis.

Zulkifli Ariffin, 64

Zulkifli Ariffin, 64, menggesa kerajaan agar mengambil tindakan segera kerana dia sekeluarga terpaksa ‘ikat perut’ akibat kenaikan harga barangan tersebut.

“Kita terpaksalah ambil berjimat, bukan tak makan, kena makan sayur ni, kita ambil dalam kadar sedikit supaya kita merasa ada sayur tu juga.

“Buat tindakan segera, terutamanya menteri-menteri yang terlibat, ambil tindakan. Jangan tunggu rakyat dah bising baru nak ambil tindakan, baru nak turun padang, tak eloklah dari segi macam tu,” katanya kepada SatuBerita

Zulkifli berkata, dia bukan sahaja terkejut tetapi musykil bagaimana harga barangan seperti sayur-sayuran meningkat dengan mendadak dan melampau.

“Kita sebagai pengguna kita terkejut lah, jadi orang terfikir, macam mana sayur boleh naik. 

“Sedangkan saya tengok dalam Facebook, contohnya sayur bendi, dia beli dari ladang baru RM4 sekilogram, bila pergi ke orang kedua ketiga jatuh sampai RM16 sekilogram, apa cerita?,” soalnya.

Mohd. Ali Azhar, 25

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh seorang peniaga burger, Mohd. Ali Azhar, 25, yang menyatakan dia terpaksa meningkatkan harga jualannya walaupun dipersoal pelanggan.

“Saya terpaksa naikkan harga jualan saya, macam mana pun, sebab bukan sayur sahaja, macam-macam barang naik harga.

“Setengah (pelanggan) ada yang marah mereka cakap barang naik harga sikit tapi dah naik harga makanan. Kalau saya tak boleh nak balik modal macam mana, saya tetap kena naikkan (harga makanan),” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja dia terkesan secara peribadi, tetapi perniagaannya juga terkesan akibat kesusahan untuk mendapatkan pelanggan ekoran kenaikan harga burger yang dijual.

Mohd. Ali juga mempersoalkan alasan yang diberi sesetengah pihak yang mendakwa kenaikan harga barang adalah disebabkan cuaca yang teruk.

“Saya rasa daripada supplier tak tinggi macam ni harga dia, sebab dulu boleh jual murah kenapa tiba-tiba mahal. 

“Takkan sebab tiada barang, harga naik. Mereka banyak bagi alasan macam tu, hujan lah apa lah sebab tu harga naik,” katanya.

Sharina Shariff, 37

Sementara itu, Sharina Shariff, 37, meluahkan rasa simpati terhadap ahli keluarga rapat yang bertungkus-lumus bekerja lebih masa bagi menyara keluarga.

“Adik beradik kita, saudara-mara kita yang tidak bekerja kita dapat rasa, tengok kadang-kadang kena kerja lebih untuk menyara keluarga,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here