KENAIKAN melampau harga barang keperluan menjadikan rakyat Malaysia bagai jatuh ditimpa tangga kerana ia menambahkan lagi bebanan mereka yang ketika ini masih terbeban dengan impak pandemik Covid-19 yang hampir masuk tahun keduanya ini.
Jika perkara ini tidak ditangani dengan serius oleh pihak kerajaan, ia bakal menambahkan kegusaran rakyat dan boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang ramai yang terkesan olehnya.
Perkara inilah yang dinyatakan oleh majoriti pengguna yang ditemui SatuBerita dalam tinjauan yang dilakukan di sekitar kawasan Selayang pada Rabu.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Dahulu untung RM50, sekarang RM10 hingga RM20 – Peniaga nasi lemak
Para pengguna yang ditemui juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap senario ini dan menggesa kerajaan untuk segera mengambil tindakan yang serius dan berkesan bagi menanganii keadaan serta mengelakkannya daripada berterusan mahupun berulang.
Menurut suri rumah, Zainab Ismail, 57, kerajaan harus memandang serius terhadap kenaikan harga barangan kerana ia bukan sahaja memberi kesan yang besar kepada pengguna, tetapi peniaga secara umumnya.
“Kerajaan sepatutnya memandang serius, ramai orang yang susah sekarang akibat pandemik, penjual terutamanya. Orang yang menjual nasi lemak, penjual tepi jalan mesti terkesan.
“Ambil tindakan untuk mengawal harga barangan, janganlah sampai melampau-lampau naik. Kesian lah dekat rakyat, rakyat kan cari makan, kesian dekat mereka,” katanya kepada SatuBerita.
Turut menyokong perkara itu, Fadzilah Ayob, 60, berharap kerajaan untuk menetapkan harga yang berpatutan supaya rakyat tidak berada dalam kesusahan.
“Mintalah beri harga yang berpatutan, jangan naik melampau, kita pun bukannya orang senang, bagi orang yang senang tiada masalah,” katanya.
Sementara itu, Ramlan Mat Deros, 61, meluahkan kemarahannya terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan mendakwa pihak KPDNHEP tidak menjalankan tugas mereka.
“KPDNHEP nampaknya tak buat kerja, bagi saya memang dia tak buat kerja. Dia cerita kenaikan (harga) adalah normal, tetapi ini saya memang bangkang, pasal diorang memang tak buat kerja.
“Mereka harus buat sesuatu yang drastik, buat sesuatu yang menggembirakan rakyat terutamanya golongan B40,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, menurut Izzat Izzudin, 33, kerajaan harus memantau dan mengkaji semula punca kenaikan harga kerana dia merasakan seolah-olah ditindas.
“Kerajaan kena betul-betul pantau dan kaji balik, adakah kenaikan harga ini disebabkan faktor-faktor seperti dari segi buruh, baja dan sebagainya. Tapi saya rasa macam diambil kesempatan,” katanya. – SB