TIGA lelaki termasuk dua beranak didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di Pasar Pagi Rumah Pangsa di Jalan Hospital, minggu lepas.
Ramli Lot, 60, dan anak lelakinya, Ismail Ridzuan Ramli, 34, serta bapa saudara Ismail Ridzuan, Mohd Fuzi Ab Manaf, 47, kesemuanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa melakukan pembunuhan ke atas Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di Pasar Pagi Rumah Pangsa di Jalan Hospital di sini antara 9.50 pagi hingga 11.05 pagi, 25 November lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 3 Januari untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan penilaian kesihatan mental Ramli.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.- BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.