Sindiket seludup PATI Myanmar ditumpaskan

0
277

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang membabitkan penyeludupan warga Myanmar susulan serbuan berasingan yang dijalankan menerusi ‘Op Pintas’ pada Sabtu lalu.

Operasi hasil daripada risikan polis itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta  Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, operasi itu berjaya menahan dua lelaki tempatan serta seorang wanita tempatan dan wanita Myanmar dipercayai dalang aktiviti tersebut.

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 43 hingga 66 tahun yang ditahan secara berasingan itu dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan polis.

“Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

Menurut Rahimi, dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Tambahnya, kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, kesemua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ( Kesalahan Penyeludupan Migran).

Jika disabitkan kesalahan ujarnya, kesemua dalang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ( Kesalahan tidak memiliki permit yang sah).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here