Dewan Rakyat bincang isu pendigitalan sektor peruncitan luar bandar

0
235

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan isu mengenai inisiatif pendigitalan sektor peruncitan terutamanya yang memfokuskan kawasan luar bandar.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, soalan itu diajukan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mahu penjelasan bagi meningkatkan pendedahan kepada peniaga berhubung keperluan perniagaan berkonsepkan digital pada masa kini.

Selain itu, Turut Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pula meminta penjelasan dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan kedudukan aduan-aduan oleh penghuni kondominium dan pangsapuri yang berjaya diselesaikan atau tidak diselesaikan oleh pesuruhjaya bangunan.

Ia termasuk dari segi bilangan, jenis aduan dan perbadanan pengurusan yang bermasalah.

Manakala Datuk Syed Abu Hussin (BN-Bukit Gantang) pula meminta penjelasan daripada Menteri Kesihatan untuk menyatakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap sebagai kesiapsiagaan dan peratusan ketersediaan kerajaan dalam proses melangkah ke fasa endemik COVID-19.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) juga dijangka akan mengajukan soalan kepada Menteri Perpaduan Negara berkaitan usaha memperundangkan tindakan atau kata-kata kebencian antara kaum dan agama bagi memastikan hubungan damai berbagai kaum di negara ini.

Persidangan akan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here