Tujuh ditahan terlibat judi dalam talian

0
570

POLIS Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Persiaran Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, petang semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 30-an itu ditahan dalam serbuan Ops Calling Centre pada pukul 5.30 petang, semasa sedang mempromosikan permainan judi dalam talian.

Polis turut merampas pelbagai jenis peralatan elektronik antaranya 28 unit telefon bimbit, empat unit pem­prosesan pusat (CPU), lapan unit monitor komputer, sebuah komputer riba dan dua unit modem dalam serbuan itu.

Katanya sindiket itu mempunyai sekitar 1,000 pelanggan dengan anggaran transaksi urus niaga perjudian RM30,000 hingga RM40,000 sehari.

Siasatan lanjut mendapati kondominium mewah yang disewa itu dijadikan pusat mempromosi serta menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasarkan pelanggan tempatan.

“Mereka menggunakan laman web ‘www Club66’ bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti jenis Kissme, mega888 dan rolex menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram dan WeChat.

“Kaedah transaksi juga dibuat secara dalam talian menerusi  beberapa akaun disyaki akaun keldai yang dijadikan tempat memasukkan dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here