[VIDEO] PRU-15 awal tidak sesuai, rakyat takut risiko Covid-19 dan letih berpolitik

0
587

SEKIRANYA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal daripada jangkaan, peratusan rakyat keluar mengundi diramal rendah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sekiranya dinilai daripada PRN Melaka, ia jelas menunjukkan peratusan keluar mengundi rendah kerana pengundi masih mempertimbangkan dua isu besar jika terbabit di dalam satu lagi pilihan raya iaitu pandemik Covid-19 dan keletihan politik.

“Setakat ini, kalau dilihat kepada perkembangan semasa dengan PRN Melaka sebagai pertimbangan, hanya UMNO sahaja yang inginkan PRU-15 dilaksanakan awal. Tapi jika dilihat kepada peratusan mengundi yang rendah di Melaka, bermakna ‘2P’ iaitu pandemik dan keletihan politik masih menjadi pertimbangan rakyat.

“Kalau hendak dilaksanakan PRU dengan keadaan Covid-19 yang masih lagi pada tahap yang membimbangkan selain sentimen ‘2P’ itu tadi, ia masih lagi tidak sesuai,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Menurut beliau, UMNO mungkin merasa yakin dengan kemenangan besar dikecapi di Melaka, namun perkara itu masih samar jika hendak menjamin kemenangan yang sama di peringkat pusat ekoran peratusan pengundi yang rendah di Melaka tidak mampu memberi refleksi yang jelas di peringkat pusat.

“UMNO mungkin rasa yakin boleh menang dengan sentimen itu. Namun, PRU adalah berbeza dengan PRN kerana ia bukan refleksi kepada pecahan undi. Undi popular Barisan Nasional (BN) juga tidak sampai 50%. Tambahan pula, pengundi adalah hanya daripada orang yang berada di Melaka sahaja dengan hampir beratus ribu pengundi tidak pulang untuk mengundi.

“Hayunan undi juga masih tidak memihak kepada BN oleh kerana pecahan tiga parti itu. Kita ambil contoh apa yang berlaku di Banda Hilir yang mempunyai peratusan mengundi paling sedikit, namun DAP masih menang. Maka jelas hayunan undi sebenarnya tidak begitu memihak kepada mereka,” ulasnya.

Tambahnya, sekiranya trend yang sama berlaku di peringkat pusat, perkara itu masih lagi bersifat terbuka.

“Sepertimana yang saya cakap, mood semasa ini memihak kepada BN. Kalau cepat, mungkin ada peluang buat mereka. Cuma soalannya, adakah mereka akan menang besar sepertimana di Melaka atau sebaliknya?” katanya lagi.

Mengulas berkenaan dengan jangkaan strategi yang akan digunakan oleh parti-parti yang akan bertanding pada PRU-15 kelak, perkara itu diramalkan lebih kurang sama dengan apa yang telah diketengahkan oleh mereka ketika PRN Melaka.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here