Bekas warden didakwa menyamar jadi polis

0
263

SEORANG bekas warden penjara didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, minggu lepas.

Tertuduh, Zakwan Mahuri, 44 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azreen Liyana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan yang tertentu, sebagai seorang anggota polis, sedangkan dia tahu dia tidak memegang jawatan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Pejabat Cawangan Khas IPK Perak kira-kira jam 9.50 pagi, 18 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.Mahkamah turut menetapkan 21 Dis hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here