Selepas gagal pertahan 4 kerusi, Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

0
319

PENGERUSI DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatannya selepas gagal mempertahankan empat daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Beliau turut memohon maaf dan bertanggungjawab ke atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baru, malah lapan kerusi yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berkurangan kepada empat.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

“Sebagai ketua negeri, saya mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya negeri.

“Saya dengan ini mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri, berkuat kuasa serta-merta,” jelas Kok Kiew memetik laporan Malaysia Kini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan akan kekal sebagai ahli DAP.

Kok Kiew kecundang dalam saingan lima penjuru di kerusi DUN Bemban selepas ditewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Yadzil Yaakub yang memperolehi 4,211 undi.

Beliau hanya mampu meraih 3,095 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Koh Chin Han memperoleh 3,883 undi.Dua lagi calon bebas iaitu Choong Koon dan Azmi Kamis masing-masing hilang deposit mereka. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here