BN boleh bergembira tetapi jangan bangga sangat kerana…

0
341

TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) yang bukan sahaja kembali berkuasa di Melaka tetapi juga mencapai kejayaan cukup memberangsangkan apabila menang di 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan.

Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terhadap perolehan undi BN dan reaksi, boleh dikatakan BN boleh bergembira dengan kemenangan dicapai tetapi tidak boleh terlalu bangga apatah lagi mahu menjadi angkuh dengan kejayaan di bumi Hang Tuah itu.

Mereka juga tidak boleh terlalu gelojoh mahu Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan secepat mungkin sebab ada sosak sosek mengatakan seorang pemimpin kanan BN minta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bulan depan. Biasalah orang kalau keterujaan dan gembira sangat kadangkala terlupa untuk meneliti fakta.

UMNO atau BN tidak boleh menganggap apatah lagi mendabik dada mengatakan rakyat sudah kembali menyokong BN hanya disebabkan menang 21 kerusi di Melaka.

Semua orang tahu faktor utama kemenangan BN di negeri itu disebabkan jumlah keluar mengundi rendah iaitu bawah 70 peratus. Pada masa sama BN bernasib baik apabila gelombang pengundi luar pulang mengundi tidak berlaku.

Faktor lain yang turut menyebelahi BN, apabila terdapat protes dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan berikutan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil dua bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sebagai Ketua Menteri sehingga tumbang kerajaan Melaka sebagai calon.

Penulis faham keterujaan hasil kemenangan itu sehingga sudah ada pemimpin UMNO yang minta Pas yang menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional ‘kembali ke pangkal jalan’, entah jalan mana yang dimaksudkan oleh pemimpin tersebut tetapi yang pasti kemenangan di Melaka bukan bermakna BN dan UMNO berada di jalan mudah untuk mencapai kejayaan dalam PRU-15.

Ia kerana seperti mana kata seorang pemimpin UMNO kepada penulis, ‘’kemenangan BN itu atas sentimen parti bukan sentimen rakyat.’’

Secara terperincinya daripada 21 DUN yang dimenangi oleh BN, 11 daripadanya menang dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi. 

DUN tersebut ialah Tanjong Bidara (364 undi), Rembia (860 undi), Gadek (559 undi), Machap Jaya (938 undi), Durian Tunggal (559 undi), Pantai Kundor (829 undi), Paya Rumput (629 undi), Klebang (876 undi), Pengkalan Batu (131 undi), Serkam (79 undi) dan Duyong (200 undi).

Tiga DUN, BN menang dengan majoriti di bawah 1,400 undi iaitu Ayer Limau (1,085 undi), Rim (1,327 undi) dan Sungai Rambai (1,137 undi) manakala Tujuh DUN menang dengan majoriti antara 1,500 hingga 3,200 undi iaitu Kuala Linggi (1,8836 undi), Lendu (3,108 undi, Taboh Naning (1,825 undi), Asahan (2,993 undi), Ayer Molek (2,802 undi), Merlimau (3248 undi) dan Telok Mas (2,076 undi).

Keputusan mungkin berbeza  jika jumlah keluar mengundi melibatkan pengundi dalam negeri dan pengundi luar. 

Tetapi keadaan itu tidak berlaku kerana kebimbangan jangkitan Covid-19, perasaan muak dengan politiking dan protes terhadap calon.

Sebagai contoh, di Tanjong Bidara, jumlah keluar mengundi adalah 72.5 peratus, BN menang dengan majoriti 364 undi sahaja, begitu juga di Serkam yang mencatatkan jumlah keluar mengundi 74.2 peratus, BN menang dengan majoriti cukup tipis iaitu 79 undi, di Duyong BN menang dengan majoriti 200 undi apabila jumlah keluar mengundi mencecah 68.2 peratus.

Oleh itu kalaulah pemimpin-pemimpin BN berasa kemenangan di Melaka adalah isyarat rakyat sudah kembali menyokong parti itu, ia harus difikirkan semula. 

Ia memandangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, senario adalah berbeza, gelanggang permainan berlainan dan pengundi yang pelbagai.

Lagipun kalau ikut sesetengah penganalisis politik, undi popular BN dalam PRN Melaka hanya bertambah 0.55 peratus sahaja.

*Jangan pandang mudah pencapaian Perikatan Nasional

Apa yang menarik untuk dikaji ialah pencapaian Perikatan Nasional dalam PRN Melaka. Walaupun gagal mempertahankan kerusi DUN Telok Mas dan Paya Rumput yang dimenangi dalam PRU-14, namun gabungan itu ‘berjaya menggantikannya’ dengan kejayaan bergaya di dua DUN lain apabila merampas kerusi Bemban daripada DAP dan Sungai Udang daripada Barisan Nasional.

Dua calon muka baharu Perikatan Nasional  yang merupakan pegawai perubatan iaitu Dr.Yadzil Yaakub dan Dr. Mohd Aleef Yusof masing-masing ‘menumbangkan’ calon cukup hebat.

Dr.Yadzil berjaya menewaskan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew di Bemban dan Dr Mohd Aleef mengalahkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad  di Sungai Udang.

Walaupun Dr.Yadzil dan Dr Mohd Aleef menang dengan majoriti tipis tetapi ia kejayaan besar buat mereka dan Perikatan Nasional.

Perikatan Nasional boleh dianggap mencatatkan perolehan undi yang membanggakan apabila hanya seorang calon memperolehi di bawah 1,000 undi manakala calon-calon lain di atas 1,000 undi dengan jumlah undi tertinggi ialah di DUN Serkam.

Walaupun tewas di Serkam tetapi calon Perikatan Nasional, Zaidi Attan memberi saingan cukup sengit apabila tewas hanya 79 undi majoriti kepada calon Barisan Nasional, Ahmad Hilal Rahudin.

Dari segi perolehan undi juga selain Bemban dan Sungai Udang, terdapat 10 DUN yang menyaksikan Perikatan Nasional kalah tetapi memperolehi undi mengatasi calon Pakatan Harapan.

DUN tersebut ialah Lendu, Taboh Naning, Tanjong Bidara, Ayer Limau, Pantai Kundor, Ayer Molek, Telok Mas, Rim, Serkam dan Sungai Rambai. Perikatan Nasional juga mencatatkan penambahan undi di semua kerusi.

Ketika ditanya mengenai keputusan DUN Sungai Udang yang menyaksikan pengundi awal tidak menyebelahi BN, satu sumber berkata,

’’Mereka adalah penjawat awam yang memahami apa berlaku di peringkat nasional mereka mahu pemimpin bersih dan sumbangan besar Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri yang menguruskan negara ketika pandemik Covid-19.’’

Oleh itu BN dan UMNO, janganlah memandang mudah kehadiran Perikatan Nasional dalam gelanggang pilihan raya. Tidak payahlah menjadikan PRN Melaka sebagai modal untuk menunjukkan kononnya Perikatan Nasional tidak ada sokongan kerana perolehan undi membuktikan sebaliknya.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here