337,765 OBS sudah mencarum dengan Perkeso

0
299

Oleh RIZQI ZABIDI

Seramai 337,765 individu yang bekerja sendiri di seluruh negara sudah pun mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan pada 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, secara keseluruhannya jumlah kutipan caruman mereka itu yang dikenali sebagai ditakrifkan sebagai orang bekerja sendiri (OBS) adalah sebanyak RM77 juta hingga Rabu lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 1,752 OBS sudah pun menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta.

“Mereka yang menerima bayaran faedah itu terdiri daripada pelbagai golongan antaranya petani, penjaja, mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan dan sokongan serta artis.

“Pihak Kementerian juga dalam masa sama melaksanakan program geran penuh atau padanan caruman SKSPS pada tahun lalu bagi meluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 810,000 individu yang bekerja sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, Pendang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman serta Pengurus Besar Mada, Kamarudin Dahuli.

Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang memaklumkan, menerusi geran padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar sebanyak RM232.80 atau 30 peratus daripada bayaran setahun untuk skim caruman dua manakala bakinya dibiayai kerajaan.

“Sebab itu kita galakkan petani, pesawah atau mana-mana golongan yang layak untuk mencarum di Perkeso. Jika terjadi kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang atau ketika melaksanakan kerja, akan ada perlindungan dari pihak Perkeso.

“Jika ditakdirkan meninggal dunia, insya Allah wang sebanyak RM2,000 akan diberikan serta-merta bagi tujuan pengurusan jenazah. Pencen penakat pula akan diberikan kepada isteri manakala anak-anak yang masih belajar juga akan mendapati bantuan.

“Sehingga kini seramai 1,450 petani di Kedah sudah mencarum dan kita ada lagi kira-kira 50,000 petani dalam kawasan MADA yang belum berbuat demikian. Insya Allah kita akan jalin kerjasama bersama MADA agar lebih ramai pesawah dan petani membuat caruman,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here