Perairan laut Johor dijangka terus jadi tumpuan kegiatan jenayah – APMM

0
511

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjangkakan perairan Johor akan terus menjadi tumpuan kegiatan jenayah di laut terutama aktiviti rentas sempadan membabitkan kegiataan penyeludupan migran.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata ini susulan pembukaan banyak sektor ekonomi ketika ini seperti perdagangan, perkapalan, pertanian dan perladangan yang cukup pesat berbanding negeri lain.

“Situasi berkenaan membuka jalan kepada pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk orang asing melalui jalan yang tidak sah.

“Faktor geografi Johor yang terlalu dekat dengan negara jiran iaitu hanya satu jam jika melalui jalan laut dan menjadi pintu sempadan ke negara ini, juga antara penyebab negeri ini jadi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Operasi Redback ke-16 iaitu kerjasama antara APMM dan Australian Border Force (ABF)di Sungai Sarang Buaya, Muar, dekat sini, hari ini yang turut dihadiri wakil ABF Supt John Fleming.

Justeru, Mohd Zubil berkata  pihaknya akan menggerakkan 45 aset laut sekurang-kurangnya beroperasi setiap hari untuk mengawal sempadan tidak termasuk pesawat udara bagi mengekang jenayah rentas sempadan daripada terus meningkat.

Mengenai Operasi Redback 16, beliau berkata ia merupakan inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here