Apalah daya saya menolak takdir Allah- Rafidah

0
219

TERPAKSA menerima hakikat yang kandungannya keguguran, pelakon dan usahawan, Rafidah Ibrahim mendedahkan yang dia sudah menerima dugaan tersebut dengan reda.

Impian untuk menimang cahaya mata pertama tidak kesampaian apabila kandungan tersebut gugur beberapa hari lalu.

“Kehilangan bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga mahupun yang telah lama menantikan cahaya mata adalah suatu perkara yang amat menyedihkan. Begitu juga buat saya dan suami.

“Tapi sebagai hamba-Nya, apalah daya kita untuk menolak takdir-Nya. Pilihan pertama itu pilihan kami, manakala pilihan kedua itu adalah daripada Allah SWT. Sudah tentulah sang pencipta lebih mengetahui yang terbaik buat kami,” katanya.

Berkongsi insiden berkenaan, Rafidah yakin lebih ramai golongan ibu dan wanita di luar sana yang diuji dengan pelbagai dugaan yang lebih hebat darinya.

Dia yang mengalami pendarahan terus ke hospital dan diberikan janji temu baharu oleh doktor setelah melihat keadaan baik sahaja. Berselang hari, ketulan pepejal keluar dan kembali ke hospital untuk mengesahkan keadaannya itu.

“Saya ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan kandungan keguguran. Maka saya perlu membuat proses ‘cuci’ akibat keguguran.

“Saya yakin setiap ujian dan ketentuan yg datang daripada Allah itu adalah sebahagian daripada proses dan perjalanan dalam kehidupan saya dan suami dalam berkeluarga,” tambahnya lagi.

Meskipun bersedih dengan keadaan tersebut, Rafidah dan suami yakin pada ketentuan dan memohon orang ramai mendoakan mereka.

Pun begitu dia bersyukur kerana masih berpeluang merasai nikmat mengandung meskipun dalam tempoh yang singkat. Baginya itu merupakan satu fasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Yakinlah rezeki Allah sentiasa tepat pada masa dan tempatnya. Untuk ibu-ibu yang mengandung, elakkan perkara yang boleh mendatangkan tekanan, stress dan sebagainya,” katanya.

Untuk info, Fida mendirikan rumah tangga bersama bekas pengurusnya, Shahzemir Shahzulkarib pada 5 Mei lalu selepas 10 tahun berkenalan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here