[VIDEO] Mejar Abdullah janji naik taraf kualiti perkhidmatan PBT dan rakyat

0
555

ISU berkaitan masalah banjir dan bencana alam yang kerap melanda penduduk di Lendu, Melaka akan diberi lebih keutamaan jika Perikatan Nasional (PN) memerintah Melaka.

Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi, menegaskan masalah itu sudah pun diambil tindakan pihak berkuasa tetapi masih memerlukan tindakan lebih teliti dan berterusan.

Katanya, tindakan penyelesaian masalah banjir, ribut taufan, isu bekalan air, perparitan, jalan dan sebagainya dapat diatasi kerana semua agensi untuk menyelesaikan masalah tersebut telah sedia ada di Lendu.

“Apa yang perlu dilakukan ialah mengemaskini lagi peranan dan fungsi agensi ini agar ianya tidak terganggu dengan isu-isu yang boleh membantutkan peranan mereka.

“Inilah antara perkara yang saya akan utamakan untuk memastikan kelancaran pentadbiran supaya bencana atau masalah yang pengundi hadapi dapat ditangani secepat mungkin,” katanya ketika siaran langsung di akaun Facebook rasmi beliau.

Pada masa sama, beliau juga akan memastikan kawasan itu tidak ketinggalan daripada aspek pembangunan ekonomi dan modal insan.

“Saya akan mengembelingkan seluruh aset yang dianugerahkan Allah S.W.T kepada saya untuk dimanfaatkan kepada pembangunan Lendu dalam konteks infrastuktur ekonomi dan perpaduan sosial,” katanya.

Mejar Abdullah yang juga Pengerusi Kelab Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) akan memastikan badan amal itu meneruskan program amal mereka kerana setakat ini, ia terbukti dapat membantu penduduk setempat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Sementara itu, pesara tentera yang lebih dikenali dengan nama Mejar Dollah turut menggesa pihak berkuasa tempatan menjalankan kajian komprehensif menyelesaikan masalah lalat dan langau di pekan Lendu termasuk di kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu.

Bagi memastikan impian itu tercapai, beliau menyeru seluruh pengundi di Lendu supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin pada 20 November ini- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here