Arak Timah : PAS kecewa bantahan tidak dipeduli kerajaan

0
278

VETERAN PAS kecewa kerana suara parti itu seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan selepas Jemaah Menteri membenarkan arak keluaran tempatan, Timah mengekalkan namanya.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, berkata, parti itu selama ini bertegas membantah penggunaan nama Timah pada label arak berkenaan, dan keputusan Jemaah Menteri secara tidak langsung memberi persepsi bahawa PAS gagal menyelesaikan isu melibatkan agama Islam.

“Saya amat kecewa…sebenarnya pimpinan PAS dah bantah dan bangkit (isu Timah) ke mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya pandangan PAS tidak diambil perhatian serius oleh kerajaan. Sepatutnya apa yang disuarakan PAS diambil peringatan oleh kerajaan, kerana PAS sebahagian kerajaan,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT)

Beliau berkata, keputusan itu seperti menafikan keberadaan Pas dalam pakatan kerajaan Keluarga Malaysia, sedangkan parti itu mendukung sebarang keputusan kerajaan.

“Sebab itu secara langsung atau tidak, Pas dianggap oleh rakyat terutama beragama Islam sudah tidak ada peranan padahal kita sudah bantah perkara itu habis-habisan,” tegasnya.

Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan pusat yang lebih menumpukan isu besar seperti Rang Undang-Undang 355 (RUU355), sehingga menyebabkan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk judi dan arak dipandang remeh.

“Bukankah sudah ada rundingan dengan syarikat dan mereka juga bersetuju tukar nama lain tetapi kerajaan pula umumkan nama (arak Timah) dikekalkan. Sepatutnya tak perlu takut pada bukan Islam,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, parti itu tetap menolak penggunaan nama Timah terhadap arak jenama tempatan walaupun kerajaan membuat keputusan membenarkan penggunaan nama tersebut.

Katanya,  pendirian mereka berhubung perkara itu tetap sama sejak dari awal lagi.

“Dalam hal ni jelaslah, tuan-tuan tengok pendirian PAS bab arak ni clear (jelas). Kita tidak setuju dalam apa nama… Timah ke tak Timah ke, itu jelas kepada kita daripada awal lagi.

“Tak ada lagi tuan-tuan tengok di kalangan pimpinan PAS sokong bab Timah ni, bab arak ni. Kita tak setuju, atas nama apa pun Timah ke, Dollah ke, Wahab ke, kita tidak bersetuju,” tegas Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu seperti dilapor Astro Awani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here