Lelaki cuba suap polis RM200,000 lepaskan lima rakan sindiket pelaburan tidak wujud ditahan

0
313

POLIS menahan seorang lelaki  di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, di sini awal pagi tadi kerana disyaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan kerana disyaki  terlibat dalam sindiket pelaburan tidak wujud. 

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata lelaki tempatan berusia 30-an itu  ditahan pada 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.

Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lepas.

“Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terlibat.

Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here