Jika pilih pilihan raya, saya manusia tidak bertanggungjawab – Muhyiddin

0
311

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan parti itu sentiasa meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai pertimbangan utama berbanding perebutan kuasa.

Beliau berkata, hal itu dapat dilihat bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di negeri seperti Johor dan Perak.

Sehubungan itu beliau menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang terpaksa diadakan sebagai situasi “tidak diduga dan luar biasa” yang perlu ditanggung rakyat Melaka kesan keputusan pemimpin politik di negeri itu.

“Atas sebab itulah (ketika krisis politik peringkat nasional) saya memilih untuk meletakkan jawatan walaupun dalam perlembagaan, Perdana Menteri yang hilang majoriti boleh meminta nasihat Agong untuk membubar Parlimen.

“Tetapi saya sedar kalau saya buat begitu, saya manusia tidak bertanggungjawab kerana keadaan negara masih dalam keadaan sukar, bukan sahaja Covid-19 belum diatasi sepenuhnya, tetapi program vaksinasi pun baru bermula dan keadaan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disiarkan secara dalam talian malam ini.

Hadir sama, pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, contoh lain bagaimana PN meletakkan kepentingan rakyat melebihi perebutan kuasa dapat disaksikan di Johor dan Perak.

Di Johor katanya, Bersatu masih setia kepada kerajaan sedia ada yang hanya memiliki dua kerusi majoriti, manakala, Bersatu tidak bertindak balas ketika Menteri Besar Perak dari Bersatu, AhmadFaizal Azumu dijatuhkan, walaupun sudah ada persefahaman dengan UMNO supaya jawatan Menteri Besar dikekalkan.

Beliau menambah, begitu juga di Melaka yang pada awalnya jawatan Ketua Menteri dijanjikan diserahkan kepada Bersatu, namun diambil UMNO.

“Saya boleh bertindak sama untuk negeri Johor, hanya perlu dua ADUN keluar, maka tumbang kerajaan Johor hari ini.

“Tapi saya fikir balik, dengan apa berlaku di Melaka, takkan kita hendak bertindak bodoh atau berniat jahat untuk membuat masalah sama di negeri Johor, bukan kerana negeri saya tetapi demi untuk memelihara kepentingan rakyat maka kita tidak lakukan seperti mana UMNO lakukan di negeri yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Menurut Muhyiddin, keadaan tidak menentu ini menandakan sudah sampai masanya landskap politik di negara mesti berubah dan sejarah Barisan Nasional (BN) sudah berakhir.

Katanya, ini selari dengan sikap rakyat juga kini berubah dan pendirian mereka semakin terbuka disebabkan oleh ilmu serta penguasaan teknologi maklumat.

Tegasnya, rakyat mahu melihat Malaysia dibentuk atas dasar yang lebih adil dan saksama.

“Mereka menentang korupsi, apa sahaja bentuk penyalahgunaan kuasa. Sebab itu menjadi teras kepada dasar PN. Yang ini saya nak sampaikan kepada orang Melaka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here