Calon PN tandatangan akujanji tentang rasuah

0
510

SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani akujanji menentang rasuah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata akujanji yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat itu bukti serta komitmen parti itu dalam mendukung prinsip integriti.

“Teras dan pendirian PN adalah menentang salah guna kuasa, rasuah. Memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak. Ini jaminan kerajaan PN yang bakal dibentuk di Melaka.

“Jadi, untuk menunjukkan betapa kita komited menentang rasuah, kita sediakan akujanji. Yang ini saya minta semua calon kita untuk menandatanganinya dalam sehari dua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disiarkan secara dalam talian malam ini.

Hadir sama, pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, PN menentang segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta tidak akan membiarkan ia bermaharajalela.

Beliau turut menjamin layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak di mana tiada satu kelompok masyarakat yang akan tertinggal.

“Ini jaminan kerajaan PN yang lalu dan kita nak menjamin hal yang sama untuk rakyat di negeri Melaka,” jelasnya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada calon-calon yang bertanding supaya mereka dapat turun padang bertemu pengundi.

“Kalau calon tidak turun berjumpa dengan pengundi, saya kira itu agak tidak memberi gambaran yang baik. Seolah-olah kita ini sombong, tidak bersedia untuk berjumpa,” ujarnya.

Beliau juga berharap calon-calon PN diberi lebih banyak ruang untuk diperkenalkan melalui media massa termasuk stesen televisyen.

“Semalam saya lihat dalam televisyen nampaknya macam tak ada parti lain bertanding, BN sahaja dan Pakatan Harapan (PH) sedikit sebanyak.

“Macam PN tak ada langsung. Keadaan sebegitu tidak menggambarkan cara yang dianggap saksama dari segi masa untuk kita memperkenalkan parti kita dan calon kita.

“Saya minta Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan juga pihak televisyen dan media berlaku adil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here