KBS peruntuk RM6 bilion perkasa TVET

0
354

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM6 bilion bagi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai persiapan menuju Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata KBS sudah merancang pelaksanaan projek pendigitalan IR4.0 di ILKBS dengan melaksanakan projek kajian bertujuan mengenal pasti keperluan sebenar dan tahap kesediaan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, ada beberapa skop cadangan kajian seperti program ‘retrofitting’ dan menaik taraf peralatan latihan sedia ada dengan tambahan teknologi IR4.0 dan pembangunan makmal pintar.

Selain itu, penyediaan latihan persediaan kepada tenaga pengajar dan pembangunan kurikulum pendigitilan berasaskan projek berkenaan turut tersenarai dalam skop kajian.

Katanya, tenaga pengajar berperanan penting dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkualiti dan bagi menjayakan agenda itu, golongan belia perlu diberi latihan kemahiran.

Sehubungan itu, katanya, tenaga pengajar juga perlu menjadi lebih aktif dan berinovasi dalam berperanan penting mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian untuk memastikan pelajar TVET tidak tercicir daripada teknologi semasa.

“Elemen gamifikasi juga boleh diterapkan secara maya bagi mempertingkatkan kualiti pengalaman pembelajaran dalam talian kepada golongan pelajar.

“Jadi, kurikulum pembelajaran perlu sentiasa dikemas kini dengan memasukkan elemen digital bagi memastikan proses pembelajaran lebih menarik dan dapat disampaikan secara efektif,” katanya ketika merasmikan Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan 2021 (Skil’21) secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hasan dan Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS ,Mohd Iqbal Mohd Noor.

Ahmad Faizal berkata, komponen terpenting dalam proses pembelajaran TVET ialah pembangunan kemahiran secara ‘hands-on’ manakala pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya dalam program itu tidak dapat menyokong penguasaan kemahiran pelajar kerana 70 peratus pembelajaran berdasarkan elemen praktikal.

Beliau berkata, berikutan itu, perlu ada inovasi daripada tenaga pengajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkualiti, seiring jenama TVET ILKBS yang juga antara institusi latihan utama di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, KBS mengucapkan tahniah dan syabas kepada 1,195 tenaga pengajar yang menjadi lambang tulang belakang keluarga besar ILKBS dan peneraju dalam menyediakan golongan belia ke arah berkemahiran serta aset berharga kepada negara.

“Negara memerlukan ramai tenaga kerja mahir dan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, langkah meningkatkan jumlah pekerja mahir antara perkara diberi tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kemunculan IR4.0 dan kepesatan perkembangan teknologi ‘disruptifter’ termasuk teknologi digital, mengubah landskap ekonomi di seluruh dunia dengan ketara.

Katanya, pandemik COVID-19 pula mempercepat gelombang perubahan yang mendorong sektor ekonomi, politik dan sosial termasuk pendidikan untuk mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan seharian.

“Pendigitalan juga akan membantu mencapai pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.

“Melalui Rangka Tindakan (Blue Print) Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada 19 Februari lalu, terdapat kajian menunjukkan teknologi kecerdasan buatan berpotensi meningkatkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sehingga 26 peratus untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here