WPA perlu perjelas peraturan ‘DNS’ – Ahmad Shapawi

0
675

MAJLIS Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Para Olahraga Kebangsaan menyeru Olahraga Para Dunia (WPA), untuk memperjelaskan peraturan tidak memulakan saingan atau ‘Did Not Start (DNS)’, bagi mengelak kekeliruan.

Contoh paling ketara ialah situasi yang dialami jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lepas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ini kerana jika seseorang atlet itu gagal mendaftar pada waktu yang ditetapkan, beliau tidak harus sama sekali dibenarkan bertanding.

Perkara itu seterusnya dapat mengelak kekecewaan seperti dialami Muhammad Ziyad dan dua atlet dari Australia dan Ecuador, pada temasya berlangsung di Jepun itu.

Selaras dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mahu Malaysia memberi pandangan ekoran kekeliruan itu, Ahmad Shapawi berkata, selain gesaan mengenai penjelasan peraturan DNS, pihaknya juga akan mengemukakan pendapat dan beberapa cadangan penambahbaikan kepada WPA.

“Antara yang akan dibangkitkan ialah perlunya WPA menyediakan sistem pengawasan lebih kemas, termasuk memasang peralatan kamera litar tertutup (CCTV) di ‘athletes call room’ dan merekodkan waktu setiap kali atlet hadir untuk membuat pendaftaran.

“Saya yakin bahawa sepatutnya WPA dan komuniti para olahraga dunia juga semestinya berbangga dengan atlet para olahraga bawah naungannya seperti Muhammad Ziyad, yang berjaya memperbaiki catatan rekod dunia WPA sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad merumuskan, atlet itu dan jurulatih Mohd Faizol Harun gagal membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan, di bilik panggilan.

Ahmad Shapawi menegaskan, MSN akan sentiasa memberikan peringatan kepada pengurusan pasukan dan jurulatih serta atlet, supaya memberikan perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum mahupun semasa kejohanan berlangsung.

Beliau pada masa sama amat menyanjung tinggi kebertanggungjawaban Mohd Faizol dan Muhammad Ziyad atas insiden yang berlaku kepada mereka berdua, di Stadium Olimpik Tokyo.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya sukan di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai DNS susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here