Calon PRN Melaka: PKR, Amanah beza haluan dengan sekutu

PKR, Amanah akan pilih bekas-bekas ADUN UMNO - Anwar

0
262

PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) kelihatan tidak sehaluan dengan komponen Pakatan Harapan yang lain dalam soal pemilihan calon pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung 20 November ini.

Perbezaan pendirian itu tampak jelas apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada malam Jumaat berkata, beliau difahamkan PKR dan Amanah akan memilih setiap satu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Melaka sebelum ini sebagai calon PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, nasib dua bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka kali ini akan ditentukan malam ini atau awal pagi Sabtu.

Anwar berkata, PH boleh memberi ruang kepada dua ADUN berkenaan untuk mewakili PH dengan syarat mereka menerima dasar kepelbagaian dalam pakatan itu.

“Setakat saya faham, PKR pilih satu, Amanah pilih satu, walaupun akan dimuktamadkan lewat malam ini atau esok pagi sebelum umumkan calon.

“Saya mohon maaf ada berbeza pandangan dengan pihak yang selama ini konsisten menyokong kita,” katanya pada sidang media berkenaan PRN Melaka secara maya di Facebooknya dan Zoom malam Jumaat.

Pada 4 Oktober lepas empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman, sekali gus menyebabkan pembubaran DUN Melaka.

Desas-desus mengatakan, keempat-empat bekas ADUN berkenaan akan bertanding di bawah tiket PH namun Majlis Presiden PH menolak pencalonan semula Norhizam di bawah PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 November. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here