Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown kini orang buruan PDRM

Dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Terengganu

0
267

EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown kini menjadi orang yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rewcastle-Brown yang juga warga United Kingdom (UK) dikehendaki bersabit waran tangkap eTA3507737 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, waran tangkap tersebut dikeluarkan terhadap Editor Sarawak Report itu berikutan kegagalan untuk hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbolah di talian 019-7051222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown, kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here