Polis akan panggil ‘Karen’ – kes tidak pakai pelitup muka

0
410

WANITA warga asing yang menimbulkan kekecohan kali kedua kerana tidak memakai pelitup muka ketika masuk ke pusat beli belah di ibu negara akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Terkini, wanita itu dirakam bertengkar dengan pengawal keselamatan ketika dihalang masuk ke pusat beli belah di Bangsar tanpa memakai pelitup muka.

Rakaman itu tular di media sosial dan polis mengesan klip video yang dimuat naik menerusi Twitter pada jam 11.30 malam, semalam.

Satu siasatan dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan wanita itu yang digelar sebagai ‘Karen’ oleh warganet.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata identiti wanita berusia 51 tahun itu sudah dikenal pasti dan polis dalam tindakan untuk merakam keterangannya.

Menerusi rakaman itu kelihatan pengawal keselamatan menghalang wanita itu daripada masuk ke pusat beli-belah berkenaan kerana tidak memakai pelitup muka.

“Hasil penelitian ke atas klip video yang tular itu kita mendapati berlaku pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21a Akta 342 danPeraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, katanya orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mendatangkan kegusaran awam.

“Sebarang perlanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita mohon saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan,” katanya.

Sebelum ini, wanita sama dikatakan turut menimbulkan kekecohan ketika dihalang masuk ke sebuah butik mewah di KLCC oleh kakitangan butik terbabit kerana tidak memakai pelitup muka, beberapa hari sebelum kejadian di Bangsar.

Satu rakaman video berhubung kejadian itu turut tular di laman Twitter dan Amihizam turut mengesahkan kejadian itu dilakukan oleh wanita sama. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here