PN fokus PRN Melaka, tidak kisah tiga atau empat penjuru – Muhyiddin

0
553

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata fokus perikatan tersebut pada masa ini ialah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan berjaya sama ada tiga atau empat penjuru.

Beliau yang juga Presiden Bersatu menegaskan PN ada dasar dan prinsip asas yang harus dihargai dan dihormati.

“Soal sama ada keputusan orang lain buat, bagi saya tidak terkesan kerana saya sedar dalam UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dah buat keputusan tak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Kita tak perlu berpandu lebih daripada itu, kita lebih gariskan rancangan buat persiapan penting menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.

“Ini bukan soal PAS, ini soal Perikatan Nasional kena melihat kami bukan sebagai PAS, Bersatu dan Gerakan. PN ada dasar, prinsip asas, itu harus dihargai dan dihormati,” katanya selepas hadir pada Majlis Minum Petang bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Muhyiddin menyerahkan kepada kebijaksanaan PAS dalam membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO.

Katanya, perbincangan telah dijalankan sebelum ini di bawah gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka pada November depan.

“Saya serahkan kepada PAS, kami dah bincang panjang dalam mesyuarat PN, bagi saya apa pun PAS nak putuskan itu hak mereka.

“Saya harap PAS berikan pertimbangan semasak-masak supaya strategi menghadapi PRN tepat, tidak timbul situasi tidak ketentuan mungkin beri kesan di Melaka,” katanya.

Khamis lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO menghulur tangan kepada PAS untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka 20 November ini tetapi memberi syarat parti Islam itu perlu menggunakan lambang sendiri, bukan logo PN.

PAS sebelum ini menjalin hubungan kerjasama dengan UMNO menerusi persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi ianya bukan gabungan sebuah parti politik berdaftar.

PAS yang menubuhkan PN bersama Bersatu dan Gerakan dijangka membuat keputusan berhubung kerjasama dengan UMNO dan penggunaan lambang parti pada PRN Melaka, esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here