Bajet 2022: RM230 juta dana bantu usahawan wanita

0
444

KERAJAAN memperuntukkan dana RM230 juta antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan juga akan melaksanakan program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah serta membantu meningkatkan kapasiti perniagaan mereka

“Insentif dalam bentuk asas modal perniagaan akan diberikan selain program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian serta program ini akan memberi manfaat kepada 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia.

Ia termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu selain melaksanakan Skuad Waja bagi program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita untuk merancakkan penyertaan kumpulan itu dalam sektor ekonomi antaranya melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan. 

“Selain itu, sejumlah lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks,” katanya.

Kerajaan turut memberi perhatian dalam memberi sokongan kepada ibu berkerjaya dan sebanyak sebanyak RM30 juta disediakan untuk kemudahan taska di bangunan kerajaan terutamanya di hospital dan universiti awam.

Dalam pada itu, sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak ketika bekerja, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadikan sehingga tahun taksiran 2023.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Sept 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Menyentuh aspek kebersihan dan kesihatan diri remaja wanita, katanya kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan kit asas kebersihan secara percuma kepada 130,000 remaja wanita golongan B40 setiap bulan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here