[VIDEO] Sweet, Adam Lee bertunang bukan gimik

0
668

PELAKON Farhanna Qismina Supandi, 24, dan Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 27, selamat bertunang, petang semalam, selepas tiga tahun menyulam cinta.

Majlis pertunangan pasangan sama cantik sama padan itu berlangsung di sebuah premis persendirian di Ampang, dihadiri 20 tetamu dalam kalangan ahli keluarga masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). 

Pelakon yang lebih dikenali dengan nama pentas Sweet Qismina dan Adam Lee ini mengumumkan mengikat tali pertunangan di Instagram dengan tanda pagar #AdamSweetEngagementDay di Instagram.

Masing-masing segak dan tampan menyarungkan persalinan busana tradisional berwarna biru muda dan songket.

Sweet berkata, majlis pertunangan itu sudah lama dirancang.

“Ini bukan babak penggambaran drama, kami betul-betul bertunang.

“Kebetulan majlis pertunangan kami berlangsung dalam ‘perang’ kempen ABPBH 34. Ini bukan gimik, sebenarnya rezeki.

“Peminat kami sudah lama menanti ikatan terjalin. Sama juga dengan peminat di Indonesia yang bertanya-tanya ‘kapan’ (bila) mahu ada ikatan sah, jadi, ini mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Tambah Sweet, mereka sepakat untuk mengikat tali pertunangan itu selama setahun.

“Perancangan atau keputusan untuk berkahwin belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dahulu.

“Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Ini masa untuk kami bekerja semula,” katanya.

Terdahulu, hubungan mereka mulai menjadi perhatian peminat selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya ke ABPBH 31 pada 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Secara kebetulan, mereka baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama, Adam Chempaka sebelum itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here