24 tahun selepas Lembah Beringin dicanangkan dunia serba indah

Lembah Beringin adalah paparan hutan batu sebenar. Rangka ratusan rumah terbengkalai berdiri kaku menjadi saksi bisu gagalnya sebuah projek, musnahnya satu impian, leburnya satu harapan.

0
8261

Oleh AHMAD ABD HAMID

HATI digamit pilu, air mata bergenang menyaksikan tragedi yang menimpa Lembah Beringin, Hulu Selangor. Nama yang gah dan menjadi sebutan ramai pada tahun 1990-an itu kini hanya sebuah hutan batu sunyi dipeluk sepi, terbiar dan dilupakan.

Tidak seperti bangunan hutan batu di kota yang cantik dan dijaga, Lembah Beringin adalah paparan hutan batu sebenar. Rangka ratusan rumah terbengkalai berdiri kaku menjadi saksi bisu gagalnya sebuah projek, musnahnya satu impian, leburnya satu harapan.

Terdapat rumah terpencil dan terasing tetapi berpenghuni. Di kiri kanan dan sekeliling pula rumah tinggal, terbiar kosong dipenuhi pokok-pokok besar dan liar seperti rumah hantu yang biasa dilihat dalam filem seram.

Cuma bezanya ini bukan dalam filem. Ia kisah benar di Lembah Beringin, kisah ratapan kecewa hajat tak sampai. Cerita hidup berjiran dengan rumah kosong dipenuhi semak samun dengan kesunyian menusuk kalbu. Begitu menakutkan.

Tinjauan penulis di Lembah Beringin baru-baru ini mendapati ratusan unit rumah, daripada rumah banglo, semi-D, rumah teres dan rumah kedai tinggal terbengkalai diselimuti hutan. Rangka rumah sudah berlumut dan uzur ketara melalui celah-celah rimbunan pokok liar yang memagarinya.

Jalan di Lembah Beringin yang sunyi dan dipagari hutan. – Gambar Ahmad Abd Hamid

Selain rumah terbengkalai, banyak unit rumah sudah siap ditinggal tidak berpenghuni. Pokok-pokok kayu hidup subur dan membesar di halaman dan sekeliling sementara dalam rumah bersepah.

Yang tinggal di situ berteman dengan ‘rumah hantu’ mungkin tidak ada pilihan kerana telah membeli rumah tersebut dan tidak ada tempat tinggal lain. Suasana sunyi atau takut sudah tiada dalam kamus mereka.

Perlu penulis tekankan, perumahan Lembah Beringin yang banyak terbengkalai dan tidak berpenghuni adalah fasa bahagian dalam projek. Perumahan berhampiran susur keluar tol Lembah Beringin cantik bersih dan ramai penghuni. Namun rumah tinggal dan terbengkalai lebih banyak.

Terasa seram memasuki kawasan ini walau siang hari, apa lagi malam. Jalannya sunyi dipagari hutan. Pos pengawal di jalan masuk juga kosong terbiar. Tiada kemudahan pengangkutan awam, kedai, masjid atau stesen minyak atau tarikan lain untuk menceria dan menghidupkan suasana. Pekan paling hampir ialah Kerling.

Imbas kembali pada tahun 90-an, Lembah Beringin sangat popular. Hampir saban hari iklan projek perumahan di situ tersiar di kaca TV dengan gambaran keindahan persekitaran apabila siap. Iklan pula diiringi lagu gemersik mengusik kalbu, What A Wonderful World dendangan Louis Armstrong.

Pembangunan pesat yang dicanang di Lembah Beringin, serta mudah diakses melalui Lebuh Raya Utara Selatan, mendorong ramai tertarik membeli hartanah yang dimajukan oleh Lembah Beringin Sdn. Bhd, anak syarikat Land and General (L&G), antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

Antara dicanang ialah pembinaan pusat sukan, universiti serta penempatan semula Zoo Negara dari Hulu Kelang. Malah dikatakan lapangan terbang juga akan dibina di Hulu Selangor menggantikan Subang. Justeru bukan sahaja Lembah Beringin jadi tarikan tetapi juga kawasan berjiran seperti Bukit Beruntung dan Sungai Buaya.

Namun Sepang lokasi pilihan lapangan terbang baharu. Universiti atau pusat sukan tiada bayang. Pemindahan Zoo Negara tidak menjadi kenyataan. Yang ada kini Kolej Yayasan UEM dan padang golf yang nampak daif.

Pembangunan Bandar Baru Lembah Beringin yang berkeluasan 6,800 ekar (2,720 hektar) bermula pada 1994 dengan pelancaran 2,300 unit rumah pelbagai jenis, merangkumi banglo, semi-D, rumah teres dan rumah kedai.

Namun tiada siapa menduga impian bertukar menjadi igauan ngeri. Krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997 tempiasnya turut menggegar Malaysia. Nilai hartanah merudum, banyak syarikat gulung tikar dan banyak industri lumpuh sekelip mata.

Syarikat L&G tidak terkecuali. Tamparan krisis begitu menyakitkan. Akibatnya pembangunan Lembah Beringin terhenti. Rumah kediaman dan rumah kedai yang patut siap pada tahun 1998 terbengkalai dan ditinggalkan begitu sahaja.

Keadaan rumah banglo yang terbengkalai diselimuti hutan di Lembah Beringin. – Gambar Ahmad Abd Hamid

Pada 31 Disember 2001 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkategorikan Lembah Beringin sebagai projek terbengkalai. Pada 17 Mac 2006 syarikat pemaju digulung (wind up) atas perintah mahkamah.

Pemaju terkedu, pembeli termangu-mangu, sama-sama menanggung padah. Hajat hati bermastautin dalam suasana indah dan nyaman Lembah Beringin tidak kesampaian.

Dianggarkan lebih 1,000 unit rumah tidak siap dan terus terbengkalai hingga kini. Projek itu sudah tidak menarik pelabur. Banyak rumah yang sudah siap dan boleh diduduki ditinggal begitu sahaja, walau pun ada juga unit yang didiami. Pembeli sudah tawar hati.

Kini sudah 24 tahun projek Lembah Beringin terhenti, menjadi kawasan terpencil dan sunyi. Belum ada tanda-tanda ia akan dipulihkan. Rumah terbengkalai terus terbiar, semakin suram daripada pandangan dalam pelukan hutan yang semakin tebal.

Memang sayu melihat rangka rumah berdiri merentasi kawasan begitu luas, memandakan betapa besar dan hebat projek Lembah Beringin. Sungguh menyentuh hati melihat rumah dengan pelbagai design menarik diselimuti hutan, hanya nampak berbalam melalui celah-celah pokok.

Jika Lembah Beringin membangun seperti dirancang, pasti ia kini kawasan meriah dan maju. Justeru adakah hutan batu ini akan terus terbiar? Tiadakah usaha memulih dan menggerakkan kembali pembangunan?

Majukan Lembah Beringin dengan tarikan baharu. Antaranya universiti, kolej, politeknik dan sekolah berasrama. Juga kemudahan untuk penduduk seperti pengangkutan awam, pasar raya besar, masjid, stesen minyak, bank, pejabat pos dan pejabat kerajaan. Ada pemaju lain berani mengambil alih projek ini?

Datang dan saksikan sendiri kisah tragis Lembah Beringin. Lihatlah penghuni rumah yang tidak gentar berjiran dengan ‘rumah hantu’. Saksikan ratusan bangunan rumah dan kedai terbengkalai berdiri dipeluk sepi, kepiluan yang mencengkam hati.


NOTA: Penulis adalah wartawan senior dengan jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
.

Rencana ini pertama disiarkan di Utusantv dan adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here