Kemudahan sekolah luar bandar sentiasa dipertingkatkan

0
622

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, usaha mempertingkatkan kemudahan di sekolah luar bandar akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“InsyaAllah, kami akan usahakan yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas melakukan lawatan ke beberapa sekolah sekitar Sri Aman, Sarawak hari ini.

Menurut Radzi, lawatan ke Sri Aman dan Lubok Antu bagi meninjau keadaan infrastruktur serta pengoperasian sekolah-sekolah di kawasan berkenaan dimulakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong di Sri Aman.

“Sekolah ini adalah sekolah asrama harian yang mempunyai 70 orang murid dan 21 daripada mereka menginap di asrama. Sekolah ini baru menerima kemudahan di asrama seperti katil, tilam dan almari untuk murid. Bagi menambahbaik kemudahan di sekolah, beberapa unit kuarters guru yang telah uzur akan dibaiki segera.

“Kami kemudiannya ke SK Aping yang juga terletak di Sri Aman. Saya dimaklumkan sekolah yang mempunyai 82 murid dan 11 murid prasekolah ini dalam perancangan untuk dipindahkan ke lokasi baharu.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian untuk sekolah ini adalah penambahbaikan bilik pemulihan. Selain itu, kerja-kerja pendawaian serta penyambungan bekalan elektrik awam akan diselesaikan segera.

“Selesai tinjauan di SK Aping, kami ke SMK Engkilili di Lubok Antu yang mempunyai 1,121 murid dengan 163 murid adalah murid Tingkatan 5 dan 83 murid tingkatan 6.

“Semasa di SMK Engkilili, saya sempat bertanya khabar dengan beberapa orang murid Tingkatan 6 Semester 2 yang sedang mengulangkaji sebagai persiapan bagi menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

“Pak Cik doakan agar anak-anak semua dapat belajar dalam keadaan selamat dan berjaya dalam peperiksaan.

“Seterusnya saya ke SK San Semanju dan SK Ridan di Lubok Antu. Kedua-dua sekolah ini merupakan sekolah asrama harian.

“Jumlah murid termasuk prasekolah adalah masing-masing seramai 131 dan 127 orang murid. Keperluan menyediakan bekalan air bersih di sekolah dan asrama sentiasa menjadi perhatian kami. Begitu juga dengan kemudahan di asrama seperti katil dan tilam untuk kegunaan murid,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here