Dua motosikal berkonvoi terbakar, seorang maut

0
283

SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an, manakala rakannya yang cedera pula dianggarkan berusia dalam 20-an.

“Mereka dipercayai sedang berkonvoi motosikal dari Melaka pulang ke Perak.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan bagaimanapun impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbakar 90 peratus,” katanya.

Norazam berkata mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala rakannya pula telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.05 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here