‘Kehilangan sebutir bintang’ – PM ucap takziah pemergian Mamat Khalid

0
414

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid, yang meninggal dunia sekitar jam 12.30 pagi tadi.

Perdana Menteri berkata, dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian pengarah dan sutradara berbakat besar itu.

“Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanahair dan disegani dalam dunia perfileman negara,”

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanahair di atas kehilangan ini,” kata Ismail Sabri menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. 

Turut mengucapkan takziah, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyifatkan pengarah filem tersohor, Allahyarham Mamat Khalid adalah seorang wira yang memperjuangkan agenda perpaduan melalui karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia.

“Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” katanya.

Halimah berkata, pengarah filem terkenal itu telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum dalam karya-karya besarnya. 

Penerbit dan pengarah tersohor, Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dan karya-karyanya sering pecah panggung serta memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here