[VIDEO] Rakan artis luah rasa sedih pemergian Mamat Khalid

0
923

BERITA pemergian pengarah tersohor Mamat Khalid awal pagi tadi amat mengejutkan semua terutamanya dalam kalangan penggiat seni.

Reaksi terkilan Que Haidar antara yang paling mencuri perhatian di laman sosial. Tatkala bersiaran di TikTok Live di sisi anaknya awal pagi tadi, aktor tersebut nyata terperanjat apabila dimaklumkan oleh para pengikutnya di ruangan komen mengenai pemergian pengarah sohor berkenaan. 

Gara-gara itu, dia terus memohon untuk hentikan siaran ‘live’ bagi mendapatkan kesahihan tentang berita tersebut.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, Que Haidar berkata Allahyarham adalah antara pengarah yang terawal mengesan bakat lakonannya suatu ketika dahulu. 

Bermula dari sebuah rancangan iklan, Mamat Khalid jugalah yang ‘menghadiahkan’ watak komedi yang dikenali ramai seperti Amy Mat Piah (‘Rock’) dan juga Deris (‘Zombi Kampung Pisang’). 

Dalam pada itu, bagi pelakon dan penerbit Puan Sri Tiara Jacquelina, berita itu memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada industri seni, tetapi kepada beliau secara peribadi oleh kerana hubungan rapat beliau dengan sutradara berbakat besar itu.

Menerusi akaun Instagram Tiara Jacquelina, beliau menceritakan detik menerima perkhabaran duka pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Ini pastinya hantaran paling memeritkan bagi saya. Abang kesayangan saya, legenda yang berbakat besar Mamat Khalid meninggal dunia disebabkan serangan jantung, kira-kira sejam lalu.

“Saya dapat panggilan jam 12.30 tengah malam daripada nombor telefon Mamat, dan panggilan pada waktu sebegini hanya bermaksud: 1. Dia berjaya menyudahkan karya ‘masterpiece‘ yang dijanjikan lama dahulu, atau 2. Berita buruk,” tulis Tiara di ruangan kapsyen.

Menurut Tiara, yang membuat panggilan itu adalah anak Mamat Khalid sendiri, Amen Khalid yang menyampaikan berita buruk.

“Anaknya @amenkhalid bercakap di telefon: ‘Auntie dah tahu ke, Papa dah pergi dulu… Amen tahu Auntie sayangkan Papa, tu Amen call Auntie ni.

“Saya terkejut hingga tidak mampu berkata apa-apa. Ya Allah, jagalah sahabat kesayangan aku ini dan kurniakanlah kepadanya tempat istimewa di syurgaMu.

“Aku rindu kamu, Mat. ‘Clamptown Baby’ ku selamanya. Doo-da, doo-da. Sayang kamu sangat-sangat. Terima kasih atas kehebatan ini. Kamu akan diingati selamanya di atas karya yang tiada taranya.

“Berehatlah, abang. Alfatihah,” luah Tiara.

Sementara itu, di media sosial rakan-rakan artis dan penggiat seni turut menyatakan perasaan sedih dan menitipkan doa ke atas Allahyarham.

“Sedih mendengar berita pemergian Mamat Khalid. Seorang ‘askar’ di dalam industri kreatif melayu dan industri filem. Seorang legend dan penuh hormat. Al-fatihah,” tulis pelakon dan pelawak, Harith Iskander di Twitter.

“Inalillahiwainnailaihirojiun. Kehilangan besar untuk keluarga seni dan filem. Terima kasih Abang Mamat untuk cinta dan dedikasi selama bertahun-tahun kepada hasil tangan, negara dan orang ramai. Banyak cerita hebat, watak dan filem. Awak tentu akan dirindui. Salah seorang pencerita lagenda Malaysia. Semoga tenang disana. Semoga ditempatkan bersama yang beriman. InsyaAllah. Salam takziah buat keluarga dan sahabat tercinta, Al-fatihah,” kata pelakon, Sharifah Amani di Instagram. 

Allahyarham menghembuskan nafas kira-kira pukul 12.30 malam dipercayai akibat serangan jantung dan perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Persatuan Seniman, Hafiz Napiah.

Difahamkan Mamat pengsan di restorannya yang terletak di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here