Terbuka Denmark: Sze Fei-Nur Izzuddin tempah slot separuh akhir

Wakil tunggal Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir selepas Lee Zii Jia tumbang di suku akhir

0
337

PEMAIN badminton beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengejutkan juara Piala Thomas, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia untuk mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Denmark, malam tadi.

Pasangan pilihan ke-26 dunia itu membuat kejutan dengan menewaskan pasangan pilihan ketujuh dengan 21-18, 21-17 dalam masa 34 minit di Odense Sports Park.

Ia merupakan kemenangan pertama pasangan negara dalam empat pertemuan menentang pasangan berkenaan, yang sebelum ini membantu Indonesia merangkul Piala Thomas selepas 19 tahun kemarau, baru-baru ini.

Dalam saingan separuh akhir hari ini, Sze Fei-Nur Izzuddin akan berhadapan dengan beregu tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Sementara itu cabaran negara dalam acara beregu campuran berakhir apabila pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada pilihan keempat Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun dalam saingan peringkat suku akhir.

Walaupun menang dalam set pertama 21-19, pasangan negara kemudiannya tewas dengan 12-21, 14-21 kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo selepas berentap selama satu jam 32 minit.

Pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia juga tersingkir di suku akhir selepas tumbang kepada jaguh tuan rumah, Viktor Axelsen, awal pagi tadi.

Axelsen, pemain nombor dua dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 menang 21-19, 21-19 dalam tempoh 39 minit untuk menempah slot separuh akhir bertemu pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, menurut laman sesawang bwf.tournamentsoftware.com.

Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan Axelsen akhirnya melunaskan dendam kekalahannya kepada Zii Jia di pentas akhir kejohanan All England 2021, Mac lepas.

Dengan tersingkirnya Zii Jia, tumpuan kini terarah kepada gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjadi wakil tunggal negara beraksi di pusingan separuh akhir kejohanan.

“Ini pertemuan keempat, sebelum ini kali terakhir kita jumpa dekat Swiss (Terbuka Switzerland) kami kalah.

“(Kali ni) kita tak nak komen banyak lah, kami akan buat yang terbaik dan buktikan yang kami mampu, Insya-Allah,” kata Nur Izzuddin dalam video kepada wartawan tempatan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here