Sarawak rekod kematian tertinggi dua hari berturut-turut

0
246

SARAWAK merekodkan kematian akibat COVID-19 tertinggi dua hari berturut-turut dengan 17 kematian dicatatkan semalam.

Kelmarin, negeri itu mencatatkan 21 kes kematian.

Laman web Github melaporkan, semalam seluruh negara merekodkan 78 kematian dengan 17 daripadanya adalah kematian di luar hospital (BID).

Sarawak dengan angka kematian tertinggi, diikuti 11 kes masing-masing di Perak dan Selangor, Pulau Pinang (10), Johor (sembilan), Sabah (tujuh), Kedah (enam), Negeri Sembilan (tiga), Kelantan (dua) dan Perlis serta Terengganu, masing-masing satu kes.

Tiada kematian direkodkan di Melaka, Pahang dan tiga Wilayah Persekutuan yang lain.

Bagi kes BID, Sarawak juga tertinggi dengan empat kes, diikuti Selangor, Sabah, Pulau Pinang masing-masing tiga kes, dua kes di Kelantan dan satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, data COVIDNOW memaparkan jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan sehingga semalam adalah 28,312 kes.

Ia membabitkan 22,549 kes kematian di hospital dan 5,718 kematian BID.

Menerusi pelaporan data dalam tempoh dua minggu setakat semalam, mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih mencatatkan kadar kematian tertinggi dengan 74.4 peratus manakala pesakit berusia 18 hingga 59 tahun adalah 24.9 peratus.

Golongan lelaki juga paling tinggi mencatatkan kematian dengan 64.8 peratus berbanding wanita 35.2 peratus.

Sebanyak 45 peratus mereka yang meninggal tidak memiliki vaksinasi COVID-19 manakala belum lengkap vaksin (8.5 peratus) dan lengkap vaksinasi (46.5 peratus). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here