PM arah projek kerajaan dipantau rapi, siap ikut jadual

0
359

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu projek kerajaan dipantau rapi bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, tindakan melantik kontraktor penyelamat selepas kontraktor asal gagal melaksanakan projek harus dielakkan kerana ia bukan sahaja merugikan semua pihak selain menyebabkan peningkatan kos.

Bercakap dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Kuching, Sarawak hari ini, katanya kontraktor yang lewat atau gagal menyiapkan projek bukan hanya menjejaskan harapan kerajaan negeri dan rakyat, tetapi turut melibatkan kos yang tinggi.

“Saya tidak mahu ada kontraktor penyelamat lagi. Sebab itu kontraktor yang ada sekarang harus dipantau kerja mereka,” katanya.

“Kontraktor sedia ada sekarang perlu dipantau kerjanya sehingga siap kerana jika melibatkan kelewatan, pastinya harapan penduduk sekitar kawasan ini dan kerajaan untuk mendapatkan hospital akan terjejas dan lebih merugikan, adalah kos yang meningkat,” katanya.

Berkenaan HPJ, kontraktor penyelamat telah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

HPJ pernah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ apabila projek itu yang dijadualkan siap pada November 2016 telah tertangguh ekoran kelewatan pembinaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kerajaan Sarawak turut mengemukakan beberapa permintaan daripada kerajaan Pusat untuk membantu dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya permintaan itu dikemukakan pagi tadi sewaktu beliau menghadiri taklimat pembangunan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Apa yang dibangkitkan tadi dari segi pembangunan di luar bandar, keperluan untuk utiliti air yang perlu dipertingkatkan, begitu juga jalan-jalan di luar bandar dan yang penting saya dimaklumkan keperluan untuk menaik taraf atau membina baharu sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Ruji Ubi telah diarahkan untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion mengenai perkara berbangkit Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk negeri itu.

“Menjelang penghujung RMK12, saya berharap perkara-perkara berbangkit ini dapat diselesaikan. Saya sudah pun memberi komitmen kepada kerajaan Sarawak bahawa kita akan bantu dari segi pembangunan luar bandar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here