Cinta tak kesampaian, Hafiz lancar album zikir acapella

0
637


Oleh SatuBerita

JARAK memisahkan. Itu frasa paling sesuai menggambarkan apa yang berlaku kepada Hafiz Hamidun yang terpaksa memutuskan hubungan dengan seorang wanita yang berasal dari Indonesia.

Cinta yang baru sahaja dibina itu tidak mampu lagi untuk diteruskan meskipun sudah mula mengenali wanita berstatus janda itu selama dua tahun angkara hubungan jarak jauh dan pandemik Covid19 yang melanda dunia.

“Sukar sebenarnya untuk meneruskan hubungan jarak jauh memandangkan masing-masing mempunyai kehidupan sendiri. Jadi, saya ambil keputusan untuk memutuskan hubungan.

“Dalam fasa tersebut, lebih baik saya memberikan fokus kepada pekerjaan dan keluarga memandangkan semua orang perlu berhadapan dengan realiti baru kehidupan,” katanya usai melancarkan album Zikir Terapi Acapella.

Sejak berpisah dengan bekas isterinya Joy Revfa pada Oktober 2017, tiada siapa yang dapat menduga gejolak benak hatinya.
Semunya titik tumpuan diletakkan kepada kerjaya seni sehingga membuat orang sekelilingnya tertanya-tanya bertanya bila pula mahu mencari pengganti.

Ditambah dengan kehadiran anak angkatnya, Hamdee Abdul Hafiz yang baru berusia 2 tahun, penyanyi nasyid itu mengaskan yang tiada istilah serik dalam kamus hidupnya.

“Saya tidak pernah serik dengan perkahwinan dan bersikap terbuka sekiranya bertemu jodoh dengan mana-mana wanita. Namun bakal isteri haruslah menerima Hamdee dengan baik memandangkan dia lahir dan membesar dalam keadaan ‘tersendiri’.

“Kalau boleh menerima Hamdee dan keluarga saya, itu sudah cukup baik,” kata lelaki yang berusia 37 tahun ini lagi.

Bercerita mengenai album baharunya pula, album ini merupakan album studio kesembilan yang merupakan nafas baharu kepada album zikir terapi terdahulu yang mendapat sambutan hangat daripada peminat di seluruh dunia.

“Semuanya sama dengan album yang dikeluarkan pada 2011, cuma vokal diletakkan sebagai perkara utama. Pertimbangan ini dibuat kerana terdapat negara di Timur Tengah yang tidak mendengar muzik. Jadi album ini memang sesuai untuk pasaran di sana dan Afrika Utara,” jelas Hafiz.

Didatangkan secara digital, Hafiz akan menerbitkan versi cakera padat (CD) secara terhad dan eksklusif yang akan dijual menerusi Shopee. Video muzik dari album ini juga akan mula dikeluarkan seiring dengan pengedaran digital di YouTube. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here