Neelofa, suami hantar representasi tarik balik pertuduhan langgar SOP PKPB

0
245

PEGUAM kepada pasangan selebriti Noor Neelofa Mohd. Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd. Ismail telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Mei lalu.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili pasangan itu berkata satu salinan representasi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Rabu dan pada Khamis kepada pihak pendakwaan.

“Kami memohon kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami.

“Ini kerana kita merasakan pertuduhan-pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam saya ini pada asasnya bukanlah suatu kesalahan di bawah kesalahan yang dituduh,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Kata Wan Aizuddin, pihak pembelaan telah diberi masa selama sebulan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dalam prosiding mahkamah memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menerima representasi daripada pihak pembelaan.

“Pihak pendakwaan memerlukan masa satu bulan mengkaji representasi oleh OKS (Orang Kena Siasat),” katanya.

Majistret, Mohd. Firdaus Saleh kemudian menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Neelofa, 32, yang memakai jubah putih manakala Muhammad Haris , 26, berpakaian sut lengkap berwarna biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 9 pagi tadi (Khamis).

Pasangan ini berdepan pertuduhan pelanggaran SOP PKPB di sebuah premis permaidani di Nilai pada Mei lalu.

Menerusi laporan media sebelum ini, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here